
PETALING JAYA: Wakil MCA atau MIC mungkin dikembalikan dalam Jemaah Menteri susulan rombakan yang diuar-uarkan bakal dibuat selepas PRK DUN Pelangai hujung minggu ini.
Sumber memberitahu FMT berkata perbincangan ‘tertinggi’ mengenai perkara itu, melibatkan pihak berkenaan diadakan baru-baru ini namun tidak memberi butiran lanjut.
“Kita tunggu sehinggalah (Perdana Menteri) Anwar Ibrahim umum rombakan kerana apa pun boleh berlaku seperti pengumuman Kabinet Disember lalu,” katanya.
Ketika ini, BN hanya diwakili Umno dan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) dalam Jemaah Menteri kerajaan perpaduan selepas PRU15.
MCA mempunyai dua Ahli Parlimen iaitu presidennya Wee Ka Siong (Ayer Hitam) dan Wee Jeck Seng (Tanjung Piai) manakala wakil tunggal MIC, M Saravanan (Tapah) yang juga timbalan presiden parti itu.
Wee pernah menjadi menteri pengangkutan manakala Saravanan pula sebagai menteri sumber manusia di era pentadbiran Muhyiddin Yassin serta Ismail Sabri Yaakob.
Rombakan Kabinet perlu dibuat antaranya untuk mengisi kekosongan menteri perdagangan dalam negeri dan kos sara hidup susulan kematian Salahuddin Ayub pada 23 Jul lalu.
Minggu lalu, ketua lima kementerian diumumkan terlibat dalam beberapa pusingan kerja dan pelantikan baharu, di sebalik ura-ura kemungkinan rombakan Jemaah Menteri.
Anwar dilaporkan berkata beliau masih memikirkan mengenainya.