
PETALING JAYA: Pemenjaraan seorang rakyat Malaysia yang dianggap orang penting dalam pemerdagangan haram hidupan liar bulan lepas menamatkan dua dekad era perniagaan tanduk badak sumbu, gading gajah dan sisik tenggiling di seluruh dunia.
Teo Boon Ching dikenali sebagai “Zhang”, “Dato Sri” dan “Godfather”, menurut pihak berkuasa Amerika Syarikat yang menyifatkan beliau sebagai sebahagian daripada konspirasi antarabangsa dalam pemerdagangan hidupan liar berskala besar.
Menurut Agensi Penyiasatan Alam Sekitar (EIA) yang berpangkalan di London, Teo pakar dalam pemerdagangan dan penyeludupan tanduk badak sumbu, gading gajah dan sisik tenggiling yang dijual pada harga yang melampau di pasaran gelap.
NGO antarabangsa itu berkata, Teo menceburi perniagaan itu selama lebih dua dekad dan memainkan peranan penting dalam logistik dan membantu menyembunyikan dan membungkus barangan untuk beberapa rangkaian jenayah yang menyeludup barang larangan ke Asia melalui pelabuhan Malaysia.
Dia didakwa menggunakan negara Asia Tenggara sebagai hab transit apabila kemudian dikaitkan dengan rampasan besar sisik tenggiling dan gading di Hong Kong.
‘Penyeludup pakar’
EIA menyifatkan Teo sebagai “penyeludup pakar” yang membantu sindiket Vietnam dan China memperdagangkan hidupan liar antara Afrika dan Asia. Pada 2017, Teo mendakwa menyeludup 80 kontena, dengan hanya satu dirampas sejak mula menjalankan operasi.
Teo mula dikenali di Thailand pada 2015 apabila ditahan bersama kira-kira 135kg gading bernilai lebih RM650,000 ketika itu.
Bagaimanapun, dia hanya didenda dan didapati menjalankan perniagaan seperti biasa.
Tujuh tahun kemudian, pada Jun 2022, dia sekali lagi ditahan oleh pihak berkuasa Thailand dan diekstradisi ke AS.
Sebelum didakwa, polis Malaysia berkata, semakan mendapati Teo tidak melakukan sebarang jenayah di Malaysia.
“Pemantauan akan terus dijalankan,” kata Bukit Aman dalam kenyataan pada Oktober tahun lepas.
Pertemuan di Malaysia
Bagaimanapun, seorang peguam AS, Damian Williams berkata, Teo mengadakan beberapa pertemuan di Malaysia dan di tempat lain dengan ejen yang menyamar untuk merundingkan penjualan tanduk badak sumbu.
Kerajaan AS dalam kenyataan berkata, sumbernya bertemu dengan Teo di Malaysia pada Julai 2019.
“Ketika pertemuan itu, (Teo) menyatakan bahawa beliau berperanan sebagai orang tengah, memperoleh tanduk badak sumbu yang diburu secara haram oleh rakan kongsinya di Afrika, dan menghantarnya kepada pelanggan di seluruh dunia dengan harga mengikut kilogram,” menurut kenyataan tersebut.
Teo turut menjamin dapat menyediakan barangan tersebut “dalam satu atau dua hari” jika bayaran disediakan. Dia turut menunjukkan kepada sumber itu beberapa gambar tanduk badak sumbu yang sedia dijual dan dihantar.
Pada Ogos 2019, sumber itu membeli 12 tanduk badak sumbu daripada Teo yang dihantar dalam beg pakaian di Thailand.
Teo ditangkap pada Jun tahun lepas dan diekstradisi ke AS empat bulan kemudian.
Bulan lepas, Teo mengaku bersalah di mahkamah daerah AS di New York atas satu tuduhan konspirasi untuk menyeludup hidupan liar membabitkan sekurang-kurangnya 219kg tanduk badak sumbu bernilai kira-kira USD2 juta. Dia dijatuhkan hukuman penjara 18 bulan.